Hibah Selesaikan Perebutan Harta

 

Harian Metro (Rodly Fadly, 27 Disember 2016)

Pemberian berupa hadiah hak mutlak pemilik tanpa boleh dipertikai mana-mana pihak

Pada 1964, Allahyarham Tan Sri P Ramlee menghasilkan filem Tiga Abdul yang menggambarkan perebutan harta antara tiga beradik, Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahub yang akhirnya menyebabkan mereka ‘putus saudara’.

Kini, selepas 52 tahun filem terbabit dihasilkan, isu perbalahan mengenai harta pusaka masih berlaku dan seakan-akan tiada penghujungnya.

Ia bukan sekadar mencetuskan konflik kekeluargaan malah ada yang menjurus kepada kes jenayah apabila ia ditangani dengan kekerasan sehingga membawa kecederaan atau pembunuhan.

Konflik yang berpanjangan serta tidak menemui kesepakatan juga menjadi salah satu punca harta pusaka dalam bentuk aset dan wang bernilai kira-kira RM60 billion tidak dituntut oleh waris si mati sejak 1950 hingga sekarang.

Angka itu diperoleh menerusi rekod Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) melalui Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Ia bukanlah satu jumlah yang kecil dan perlu diberi perhatian oleh masyarakat terutama umat Islam.

Menurut Khamarul Azhar Hashim daripada agensi perunding harta pusaka, Kausar Wealth Management Sdn Bhd, ada beberapa sebab keadaan ini berlaku. Antara yang ketara adalah kejahilan serta sikap masyarakat berkaitan urusan harta pusaka.

“Kejahilan yang amat jelas dalam masyarakat Islam apabila mereka tidak mengenal waris yang berhak untuk menerima harta pusaka itu. Inilah yang mencetuskan perbalahan apabila mereka yang berhak diketepikan.

Daripada pengalaman saya mengendalikan kes berkaitan harta pusaka, masih ramai yang menganggap apabila seseorang meninggal dunia, harta itu adalah hak mutlak isteri atau suami si mati serta anak.

Mereka tidak tahu mengikut hukum Islam jika ibu bapa si mati masih hidup, juga mempunyai hak ke atas harta pusaka itu.

Begitu juga masih ramai yang tidak tahu adik-beradik si mati juga mempunyai hak ke atas harta pusaka jika si mati tidak mempunyai anak atau hanya mempunyai anak perempuan.

Malah, ada yang tahu tapi mengambil sikap ‘tidak ambil tahu’ mengenai hak orang lain kerana menganggap harta itu milik mutlak mereka hasil titik peluh si mati.

Ada yang mempertikaikan mengapa mereka perlu menyerahkan sebahagian harta itu kepada orang lain, umpamanya adik-beradik si mati sedangkan yang bekerja keras mengumpul harta ialah si mati.

Jadi, mereka mengambil sikap menutup mata sedangkan harta yang mereka makan itu adalah hak orang lain yang hukumnya jatuh haram terutama jika ia tidak diredai oleh pewaris berkenaan.

Keadaan inilah yang sering mencetuskan perbalahan keluarga dan perebutan harta pusaka sehingga ada yang berparang dan berbunuhan.

Oleh itu, dalam isu pembahagian harta pusaka ini, mengenali waris yang berhak sangat penting.” ujar Khamarul.

Selain itu, menurut Khamarul, sikap masyarakat kita terutama orang Melayu yang sangat sensitif untuk membincangkan isu harta juga mencetuskan masalah apabila pemiliknya meninggal dunia.

“Orang Melayu sangat sensitif apabila diajukan pertanyaan mengenai harta. Contohnya, ketika seseorang masih hidup, menjadi ‘pantang’ kepadanya jika anak bertanyakan harta yang dimilikinya kerana ia dianggap kurang sopan dan seolah-olah mendoakan si pemilik cepat mati.

Begitu juga dalam isu suami isteri yang saling tidak berterus terang mengenai harta alih yang mereka miliki seperti wang simpanan. Bukan saja dirahsiakan jumlah simpanannya malah tidak didedah agensi kewangan tempat simpanan.

Apabila berlaku kematian, pewaris tidak tahu apakah harta pusaka yang ditinggalkan untuk mereka uruskan apatah lagi jika dokumen berkaitan tidak ditemui.

Selain itu, satu lagi masalah orang Melayu apabila seseorang meninggal dunia, soal harta yang ditinggalkan si mati menjadi agenda yang sangat sensitif untuk dibincangkan terutama jika ‘kubur masih merah’.

Hakikatnya, Islam menyatakan tiga perkara perlu disegerakan apabila seseorang meninggal dunia iaitu mengebumikan si mati, melangsaikan hutangnya dan menguruskan hartanya,” kata Khamarul.

Khamarul juga menjelaskan proses tuntutan harta pusaka yang melalui pelbagai prosedur dan memakan masa bertahun-tahun lamanya serta membabitkan kos yang tinggi menyebabkan ramai ‘malas’ untuk menuntutnya serta lebih rela ia dibekukan.

Apatah lagi jika tiada kesepakatan atau berlaku perbalahan antara waris yang menyebabkan pembahagian harta tidak boleh dilakukan kerana ia akan melalui proses mahkamah yang berpanjangan terutama apabila berlaku kematian kepada salah seorang yang terbabit dalam kes tuntutan terbabit.

Mengenai kaedah wasiat yang sering diguna pakai untuk membahagikan harta, beliau menegaskan ia bukanlah jalan penyelesaian muktamad bagi isu perebutan harta pusaka.

Ini kerana pemilik harta hanya boleh mewasiatkan satu pertiga daripada jumlah hartanya kepada bukan pewaris faraid sementara pewaris faraid masih berhak ke atas baki dua pertiga harta berkenaan. Malah sesuatu wasiat hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat persetujuan waris faraid.

Kekeliruan sering berlaku apabila ramai yang menganggap pemilik harta boleh mewasiatkan harta mengikut kemahuannya sedangkan hukum Islam seudah jelas menyatakan kaedah yang tepat untuk membuat wasiat.

Amat jelas dalam Islam, wasiat bukan untuk pewaris faraid tapi kejahilan menyebabkan ramai yang menggunakan kaedah ini untuk mengagih-agihkan hartanya.

Malah, apa yang sering mencetuskan konflik keluarga apabila berlaku ketidaksaksamaan dalam wasiat apabila ada pihak yang mendapat lebih keuntungan sedangkan pihak lain sebaliknya.

Mereka tidak faham wasiat tidak terpakai kepada waris faraid yang akhirnya ia perlu diselesaikan secara faraid.

Namun apa yang sering berlaku, walaupun sistem faraid diguna pakai, perbalahan keluarga tidak selesai kerana pihak yang menerima wasiat masih tidak berpuas hati kerana menganggap wasiat tersebut sudah diingkari.” ujar Khamarul.

Oleh itu bagi menangani permasalahan di atas, Islam menyediakan satu jalan penyelesaian yang sangat berkesan iaitu melalui kaedah hibah.

Hibah ialah pemberian harta oleh pemiliknya ketika dia masih hidup kepada seseorang secara sukarela atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Pemberian berupa hadian ini menjadi hak mutlak pemilik harta tanpa boleh dipertikai oleh mana-mana pihak termasuk pewaris.

“Hibah ini tidak tertaluk kepada waris saja sebaliknya pemberi boleh memberi kepada sesiapa saja yagn diingini.

Contohnya, seseorang anak angkat memang tidak berhak ke atas harta keluarga angkatnya namun atas dasar kasih sayang, keluarga angkatnya boleh menghibahkan hartanya kepada anak angkat itu tanpa perlu mendapat persetujuan waris lain.

Nilai pemberian hibah itu juga tidak ada hadnya kerana pemberi hibah boleh menentukan jumlah harta yang hendak diagihkan berdasarkan kepada penilaiannya sendiri.

Ia berbeza dengan sistem faraid yang memberikan hak hanya kepada waris tertentu, manakala wasiat pula mengecualikan waris sebagai penerima wasiat serta hanya mengehadkan satu pertiga untuk diwasiatkan.

Satu lagi kelebihan hibah ialah penarikan balik hibah boleh dilakukan sekalipun ijab dan kabul sudah berlangsung asalkan belum berlaku penyerahan harta hibah.

Namum, sekiranya penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) berlaku, hibah bekenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa, ibu, datuk, nenek dan usul yang lain kepada anak serta cucunya,” katanya.

Menurut Khamarul, hibah boleh dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu dilafazkan sdan dilaksanakan semasa pengihab masih hidup atau dilafazkan dalam satu deklarasi bahawa aset atau harta terebabti hanya diserahkan secara mutlak kepada penerima selepas penghibah meningggal dunia.

Kesimpulannya, konsep hibah mampu menyelesaikan isu perebutan harga pusaka seperti yang sering berlaku.