Agensi Terbaik Wasiyyah Shoppe 2015 - 2023

Bertelagah Rebut Harta Pusaka

17 Dec 2021 | Akhbar - Kausar, Blog


Kurang ilmu perancangan mengenai harta pusaka kerap menimbulkan pertelagahan dalam kalangan keluarga, suami atau isteri.

Ramai masyarakat masih memandang wasiat dan perancangan harta pusaka sebagai perkara remeh.

Hakikatnya faraid tidak dapat menyelesaikan semua masalah harta pusaka, sedangkan dalam tidak sedar kaedah itu hanya merangkumi dalam aspek penentuan bahagian harta pusaka dan tidak pada pentadbiran serta pengurusan harta pusaka.

Pengasas bersama Kausar Wealth, hibah, wasiat, pengurusan dan perancangan harta Islam, Khamarul Azhar Hashim, berkata justeru penting perancangan harta lengkap terutama golongan berkeluarga.

Katanya, kegagalan masyarakat dalam menguruskan harta adalah satu perkara yang merugikan terutama membabitkan waris bagi meneruskan kehidupan.

“Kegagalan merancang pembahagian harta tidak boleh dialihkan seperti hartanah bukan sahaja merugikan waris tetapi tidak memberi manfaat kepada kitaran ekonomi.

“Berdasarkan kajian dijalankan, mendapati faktor sikap adalah punca utama kenapa isu harta pusaka yang beku di negara ini sehingga RM70 bilion dengan 90 peratus adalah milik orang Islam,” katanya.

Beliau berkata, contohnya kekangan masa dan kekurangan dana selain ilmu (tidak memahami proses dan hak masing-masing), antara masalah utama mereka.

“Apa yang boleh saya tekankan di sini adalah sikap mereka hingga pembekuan harta milik orang Islam seperti dalam kajian itu.

“Sikap ini membabitkan pemilik harta itu sendiri dan pewaris. Di sini selalu berlaku pertembungan di antara persepsi dan realiti.

“Jadi apakah persepsi pemilik harta? Pemilik akan berfikir jika ada hukum faraid, tak payah merancang. Itu kesilapan yang pertama.

Secara realitinya, hukum faraid, tidak boleh terlaksana dengan sendirinya. Perancangan dari sudut pengurusan penting agar urusan pusaka dan pembahagian faraid boleh dilaksanakan.

Dari sudut pewaris pula, sikap melengah untuk mengurus atau mengambil tahu menjadi faktor utama berlakunya perkara yang tidak sepatutnya berlaku seperti pembekuan,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan masyarakat menguasai ilmu mengenai perkara seperti siapa waris faraid, sudut bidang kuasanya, pentadbiran, pengurusan maka berlakulah kekeliruan.

Katanya, kekeliruan dari sudut bagaimana untuk mengagihkan harta.

“Jika pemilik mempunyai hasrat untuk membahagikan harta mengikut formula sendiri yang berlainan dari hukum faraid, sebaiknya pemilik merancang semasa hidup menggunakan instrumen yang dibenarkan di dalam hukum syarak dan menepati peruntukan undang-undang.

“Instrumen seperti hibah, wasiat, amanah, harta sepencarian adalah antara yang boleh digunakan, namun setiap instrumen itu mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Sebaiknya pemilik harta merujuk kepada mereka yang arif supaya hasrat pemilik akan terlaksana.

“Kegagalan dalam penggunaan instrumen yang tepat dan tidak didokumentasikan dengan baik boleh menimbulkan kekeliruan atau pertembungan dengan hukum faraid.

“Jika pemilik harta bertindak dengan adanya perancangan awal, keadaan ini boleh mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Setiap insan mempunyai pemikiran dan perasaan berbeza apabila masuk memperkatakan mengenai bab harta pusaka.

Banyak contoh mengenai masalah perebutan harta pusaka yang dapat dilihat di dalam masyarakat.

Kes membabitkan merebut harta antara isteri dan keluarga mentua dan kisah harta pusaka membabitkan adik-beradik selepas kematian kedua-dua ibu bapa mereka.

Contohnya, kes membabitkan akauntan, Amira Sofiah, 46, (bukan nama sebenar) yang kematian suami akibat serang jantung ketika berada di tempat kerja, beberapa tahun lalu.

Apa yang mengejutkan, tiga hari selepas pemergian arwah suaminya, keluarga mentua bertanyakan mengenai semua harta dimiliki suaminya untuk dibahagikan secara faraid.

Amirah Sofiah akur, tidak menolak hukum amun, selepas dimaklumkan hibah yang dimiliki Amirah Sofiah sepenuhnya, keluarga menjadi marah dan ingin juga menuntut hibah.

Namun, kes berkenaan selesai dan semua harta pusaka dimiliki itu dihibahkan kepada empat anak Amirah Sofiah yang berusia antara 8 hingga 18 tahun.

Sumber: Bertelagah rebut harta pusaka (bharian.com.my)

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *