27 Usahawan Cemerlang Diiktiraf

 

SHAH ALAM – Seramai 27 usahawan cemerlang di bawah program keusahawanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerima pengiktirafan diatas pencapaian mereka dalam melakukan transformasi dalam perniagaan.

Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran dan Pembangunan PKNS, Noraida Mohd Yusof berkata, anugerah yang diberikan adalah berdasarkan 10 program keusahawanan yang dijalankan PKNS.

“PKNS telah mengambil inisiatif menjemput perunding-perunding program serta beberapa juri berkecuali untuk menilai calon-calon usahawan bagi setiap program demi memastikan ketulusan pemilihan penerima anugerah dan penghargaan ini.

Diharapkan inisiatif ini akan memberi inspirasi kepada usahawan­usahawan di luar untuk menjadi pemangkin untuk terus mengorak langkah menjadi yang terbaik;” katanya pada Malam Anugerah Usahawan PKNS2016, kelmarin.

Antara 10 program keusahawanan yang terlibat adalah Vendor lnkubator Payung (VIP), Sub Kontraktor Bumiputera (SKB), Retail200, Akademi MPPB, GROW, Usahawan Mahasiswa (SMART), Tunas Niaga, VIO by PKNS, PKNS Biz Club dan Seminar@BizPoint.

Menurutnya, penubuhan Sekretariat Masyarakat Perdagangan & Perindustrian Bumiputera (MPPB) pada 1995, adalah titik permulaan PKNS melahirkan golongan usahawan yang berdaya maju.

“Bermula dengan dua program kini telah berkembang sehingga 14 program melalui penjenanamaan semula MPPB ke Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) pada 2010.

Menerusi program-program tersebut, kami menerapkan nilai­ nilai keusahawanan menerusi program pendidikan, pembudayaan keusahawanan dan membangunkan sumber manusia usahawan melalui program latihan, rangkaian rakan niaga strategik serta penilaian berterusan;” katanya.

Katanya,PKNS telah mengeluarkan kos hampir RM230 juta untuk membimbing sekurang-kurangnya 9,000 usahawan dari pelbagai peringkat melalui BPU.

“Usahawan-usahawan yang lahir terdiri daripada kalangan pengilang bahan binaan,subkontraktor Bumiputera, usahawan mahasiswa dan juga pelajar sekolah menengah dan rendah.

PKNS harap dapat terus memainkan peranan dalam pembangunan usahawan di negeri ini sekali gus menyumbang kepada usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing;” ujarnya.